MAKLUMAT TERKINI

Akademi Tunas Kelantan, Terengganu dan Pahang Mulakan Saingan Liga Akademi Tunas Zon Timur

20 Mac, 2015

Temerloh : Bencana banjir yang melanda kawasan Pantai Timur negara baru-baru ini, nyata tidak menghalang semangat pasukan-pasukan daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk turut serta memulakan kempen Liga Akademi Tunas Zon Bawah 10,11 & 12 Tahun yang bermula hari ini.

Bagi Liga Akademi Tunas Zon Timur (LATZ Timur), Institut Kemahiran Belia Negara Temerloh (IKBN Temerloh) telah dipilih sebagai lokasi kejohanan. Penyertaan yang melibatkan pasukan dari Pantai Timur, disertai pasukan dari Akademi Tunas (AT) Kuantan, AT Temerloh, AT Kota Bharu, AT Pasir Puteh, AT Kuala Terengganu dan AT Hulu Terengganu.

Akademi Tunas Pasir Puteh melakukan sesi memanaskan badan sebelum perlawanan
menentang Akademi Tunas Temerloh


Menyentuh persediaan pasukan menjelang LATZ Timur, kawasan Pantai Timur yang telah dilanda bencana banjir pada penghujung 2014 tetap hadir dengan semangat juang yang tidak pernah luntur meskipun menerima dugaan yang besar beberapa bulan sebelum sepak mula LATZ.

Antara jurulatih pasukan yang ditemui rata-rata mengakui persediaan pasukan mereka sedikit terjejas disebabkan banjir di kawasan latihan. Selain itu, peralatan latihan mengalami sedikit kerosakan. Jurulatih pasukan AT Kota Bharu (Bawah 10 Tahun), Harizan Hamid menceritakan mengenai kesukaran yang dihadapi pasukannya untuk menjalani latihan.

Jurulatih AT Kota Bharu (Bawah 10 Tahun), Harizan Hamid bersama Rifai’e Azim,
salah seorang pemainnya yang mempamerkan aksi yang menarik semalam.


Menurut beliau, pasukan AT Kota Bharu hanya memiliki tempoh latihan yang singkat kerana terpaksa memulakan sesi pertama pada bulan Januari setelah keadaan kawasan banjir pulih seperti biasa. Namun, itu tidak mematahkan semangat anak buah kendaliannya untuk memanfaatkan masa yang ada dengan latihan yang lebih efisien memandangkan tarikh kejohanan yang sudah hampir.

Kemeriahan kejohanan di Temerloh ini diceriakan lagi dengan kehadiran ahli keluarga para pemain yang turut hadir bagi memberi suntikan semangat kepada wira kecil kesayangan mereka. Kerjasama yang diberikan oleh pihak jurulatih, pemain, guru dan ibu bapa menjadi penyumbang utama kepada kelancaran di hari pertandingan.

Turut berlangsung secara serentak Liga Akademi Tunas Zon Tengah, Utara & Selatan di seluruh negara. Pusingan seterusnya dijadualkan akan berlangsung pada 11 April 2015.

Sumber - Syiham Syafar, Planet Bola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur