MAKLUMAT TERKINI

Teong Kim tagih sokongan ibu bapa

21 Mac, 2015



Hulu Terengganu: Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim mahu ibu bapa terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak mereka dalam menceburi sukan bola sepak.

Beliau berharap ibu bapa tidak menghalang minat kanak-kanak terhadap bidang sukan terutamanya bola sepak.

Beliau amat berharap ibu bapa tidak terlalu mengongkong anak-anak mereka dan memberi kebebasan untuk melakukan aktiviti yang mereka minati.

“Saya ingin meminta ibu bapa supaya memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak kita untuk melibatkan diri dalam aktiviti bola sepak.

“Kita tidak boleh terlalu mengongkong atau melarang anak-anak untuk melakukan perkara yang mereka gemari.

Perbuatan ini boleh mengganggu kegembiraan kanak-kanak. Semua ini adalah untuk masa depan anak-anak,” ujar beliau.

Teong Kim yakin, penglibatan ibu bapa mampu menjadi penyuntik semangat anak-anak mereka serta menyerlahkan lagi potensi dan bakat dalam diri anak-anak mereka.

“Pemain-pemain, jika ibu bapa kamu tidak benarkan kamu bermain bola, laporkan kepada kami,” tambah beliau lagi secara berseloroh.

Beliau berucap kepada para pemain, jurulatih dan ibu bapa ketika sesi penutup Karnival Akademi Tunas Bawah 7, 8 dan 9 Tahun (KAT7/8/9) di Sekolah Kebangsaan Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu yang berlangsung semalam.

Kunjungan ini merupakan antara siri lawatan beliau ke Akademi Tunas di seluruh Malaysia

Lim Teong Kim ketika memberi ucapan penutup dan amanat kepada peserta,
jurulatih dan ibu bapa.


SK Bukit Perah menjadi tuan rumah bagi Karnival Akademi Tunas Terengganu kali ini yang disertai beberapa pasukan termasuk Akademi Tunas Kuala Terengganu dan Akademi Tunas Hulu Terengganu.

Karnival ini mengumpulkan bakat-bakat muda dari seluruh negeri Terengganu khususnya bertujuan memberi pendedahan dari peringkat awal.

Teong Kim sempat mendekati dua pelatih dari pasukan Akademi Tunas Hulu Terengganu.


Karnival Akademi Tunas B7, 8, 9 Tahun merupakan salah satu kejohanan anjuran Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang berlangsung di setiap negeri, dan akan diteruskan dengan pusingan yang selanjutnya.

Sumber - Syiham Syafar, Planet Bola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur