Cemas Sebelum Mara
23 Mac, 2015
PEMAIN Pahang Zesh Rahman melakukan tandukan ke gawang MISC-MIFA.
Kuantan: Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan mengakui skuadnya bernasib baik layak ke suku akhir Piala FA selepas menang tipis 2-1 ke atas pasukan kerdil MISC-MIFA yang beraksi cemerlang, kelmarin.
Beliau mengakui kecewa dengan persembahan pemainnya terutama kealpaan pada minit akhir perlawanan.
Pemain Pahang tidak sepatutnya bersikap sambil lewa dan memandang mudah keupayaan lawan selepas selesa mendahului 2-0.
“Bagi saya, pemain perlu lebih bersedia dan fokus sepanjang perlawanan dan bukannya membenarkan lawan bangkit menguasai permainan sehingga hampir mengheret perlawanan ke masa tambahan.
“Saya harap pemain tidak lagi mengulangi kesilapan sama bertemu Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur, pada 7 April depan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Pahang terpaksa menunggu babak kedua untuk membolosi gawang MISC-MIFA dan hampir beraksi pada masa tambahan apabila lawan hampir menyamakan kedudukan.
Mengulas kejayaan layak ke suku akhir Piala FA, beliau agak lega kerana misi utama adalah untuk mempertahankan piala itu.
“Selepas terlepas Piala Sumbangsih, kita perlu lebih bersedia mencatat kuputusan lebih baik apabila bertemu Pulau Pinang nanti.
“Pemain tidak perlu memandang mudah pasukan lawan jika mahu melangkah lebih jauh kerana Pulau Pinang juga sudah membuktikan mereka pada kedudukan terbaik dalam saingan piala ini,” katanya.
Sumber - Oleh Asrol Awang, sukan@hmetro.com.my , Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur