MAKLUMAT TERKINI

TRW Ikrar Komitmen

27 Mac, 2015

AZRAAI (dua dari kanan) mula rencana TRW


KOTA BHARU: Barisan pemain The Red Warriors (TRW) menyambut baik perubahan dibuat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terhadap kejurulatihan pasukan dengan melantik Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai ketua jurulatih menggantikan George Boateng.

Kaptennya, Mohd Badhri Radzi berkata, barisan pemain sentiasa menerima penambahbaikan untuk kepentingan pasukan dalam mengharungi saingan bola sepak ini.

Kata Badhri atau lebih dikenali dengan Piya, barisan pemain sentiasa memberi komitmen dengan penuh semangat dalam setiap latihan dan perlawanan bagi memastikan The Red Warriors (TRW) mencapai misi sekurang-kurangnya memperoleh kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau berharap pengendali baru berusia 63 tahun itu dapat memikul tugas dan tanggungjawab dengan baik bagi memacu pasukan untuk mencapai misi itu.

“Kita menyambut baik setiap keputusan yang di buat oleh KAFA yang mengambil kira pandangan semua pihak termasuk barisan pemain.

“Kita harap Azraai dapat memikul tanggungjawab dan dapat bersama memacu pasukan supaya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya dapat membawa balik satu piala dalam saingan musim ini,” katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan bersama wakil kelab dari Thailand, Songkla United FC di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kelantan yang menerima kunjungan Songkla United FC semalam akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama wakil kelab dari negara jiran terbabit pada malam ini.

Perlawanan terbabit adalah ujian pertama Azraai yang baru pulang dari mengikuti kurus kejurulatihan di Brazil dan melaporkan diri bersama TRW petang kelmarin.

Sumber - Norizuan Shamsuddin, Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur