MAKLUMAT TERKINI

Kami Akan Beri Yang Terbaik: Naim

29 Mac, 2015

Kuala Lumpur: Kapten skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Nazirul Naim Che Hashim menyeru rakan sepasukan supaya meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan AFC B-23 meskipun mereka kini sudah berada di ambang penyingkiran.

Kekalahan di tangan Vietnam 1-2 di Stadium Shah Alam kelmarin meletakkan skuad kendalian Razip Ismail itu dalam kedudukan sukar untuk layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan kerana perlu menang dengan Macau hari ini serta Jepun, Selasa depan dalam kempen Kumpulan I.

Nazirul Naim yang menyumbat gol pertama menerusi sepakan percuma dari jarak lebih 30 meter kelmarin mahu pemain segera melupakan kekecewaan itu dan kembali fokus pada pertembungan dengan Macau.

“Saya minta semua pemain memberikan fokus kepada setiap perlawanan. Apa saja keputusan kita akan cuba berikan yang terbaik. Kemenangan ke atas Macau penting untuk menyuntik kembali semangat kami sebelum berdepan Jepun,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan dengan Vietnam.

Nazirul Naim yang pernah bersama kelab Jepun FC Ryukyu sebelum kembali menyertai Harimau Muda A percaya banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan jika mereka mahu meneruskan misi mustahil untuk melepasi pusingan kelayakan sekurang-kurangnya menerusi tiket lima pasukan kedua terbaik.

“Banyak yang perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya. Perlawanan dengan Vietnam ini memperlihatkan kelemahan di semua bahagian dari pertahanan, tengah dan serangan,” katanya.

Macau yang membariskan pemain kolej dan universiti dijangka tidak memberi ancaman kepada anak buah Razip namun jika tewas, ia dianggap malapetaka besar buat pasukan muda negara.

Sumber - Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur