MAKLUMAT TERKINI

Braganca Wajar Dihantar Pulang: PETEH

30 Mac, 2015

Kuala Terengganu: “Kalau itu aksi yang ditampilkan Jaime Braganca, lebih baik gunakan pemain tempatan.” Itu pandangan yang disuarakan Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) berhubung prestasi pemain import keempat Terengganu Braganca.

Setiausaha PETEH Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, berdasarkan aksi yang dipamerkan ketika perlawanan persahabatan menentang Kuantan FA yang berkesudahan Terengganu tewas 2-3, pemain kelahiran Portugal itu tidak layak untuk berada dalam pasukan.

“Saya tidak mahu campur urusan jurulatih dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung pemilihan pemain import, tetapi berdasarkan pengamatan kami, pemain yang mendapat kerakyatan Timor Leste itu perlu dihantar pulang dan amat merugikan jika PBSNT mengikatnya.

“Bagi PETEH, kami tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti mana Javier Estupinan dan Moustapha Dabo tahun lalu yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan. Jika PBSNT berkeras mengambil pemain itu, terpulanglah, tetapi jangan menyesal di kemudian hari,” kata Wan Mohd Azmi.

Sumber - Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur